Thursday, July 7, 2011

Peralatan terminal (terminal tackle) dalam ultralight tackle...



ultralight tackle_tactics...


Peralatan terminal (terminal tackle) dalam ultralight tackle...

Peralatan terminal (terminal tackle) adalah perkakasan yang berada di peringkat hujung tali dan terkecil sekali dalam keseluruhan aktiviti memancing dengan ultralight tackle. Ia merangkumi kepelbagaian jenis perambut, batu ladung, pelampung, swivel, snap, snap sviwel, split ring, mata kail, umpan tiruan dan bermacam-macam jenis lagi.

Kebanyakkan pemancing lebih mengambil berat tentang peralatan utama seperti joran, kekili dan tali utama tetapi di dalam ultralight tackle peralatan terminal (terminal tackle) ini mesti dilihat sama pentingnya seperti peralatan utama. Pemilihannya ‘MESTILAH TEPAT’ supaya ia sesuai untuk teknik pancingan yang akan lakukan. Maklumlah, ia lebih halus, lebih kecil dan lebih ringan.

Terdapat tiga aspek utama yang perlu diberi perhatian serius selain dari ketepatan memadankan peralatan dan teknik penggunaannya. Kefahaman ini adalah perlu sebelum anda membuat pilihan membeli dan seterusnya menggunakan peralatan terminal (terminal tackle) tersebut dalam setiap pancingan. Ketiga-tiga aspek ini adalah terpakai untuk setiap jenis peralatan terminal (terminal tackle) seperti yang telah disebutkan di atas.

1.       Warna
Macam warna pelangi! Mungkin itu adalah senario pelbagai peralatan terminal (terminal tackle) sekarang yang terdapat di pasaran. Awas! Benar, tidak dinafikan ada peralatan tertentu yang memang memerlukan warna-warna tertentu untuk menarik perhatian hasil pancingan tetapi kini ‘faktor manusia’ telah mendominasi segala-galanya. Contoh terbaik di sini ialah seperti warna-warna yang terdapat pada umpan tiruan. Ketahuilah bahawa faktor asas kejayaan umpan tiruan menarik perhatian hasil pancingan adalah berdasarkan bunyi, bentuk, warna dan aksi. Apa yang berlaku kini faktor warna pada umpan tiruan itu telah ‘di angkat tinggi’ melebihi segala-galannya. Faktor warna kini dilihat lebih menarik perhatian manusia untuk membeli berbanding dari sasaran awalnya untuk mendaratkan hasil pancingan. Fikir-fikirkan... nak ‘pancing’ manusia ke nak pancing ikan ni?...



2.       Profil
Apabila membuat pilihan untuk membeli peralatan terminal (terminal tackle) elakkan dari membeli peralatan yang dibungkus banyak secara pukal. Contohnya snap dan swivel. Mungkin harganya jauh lebih murah tetapi sila pastikan dahulu asal usul dari mana ianya datang. Adalah dikhuatiri ia telah dicampur adukkan antara peralatan yang elok dan yang kurang elok. Pastikan profil pengilang, profil penggunaan atau apa sahaja informasi berkaitan peralatan tersebut ada tertera di mana-mana salah satu bahagian pembungkusan perlatan tersebut. Jika ianya tidak berprofil, kurang informasi, nampaknya memang sengaja pembuatnya tidak mahu kita semua mengetahui pasal peralatan tersebut! Adakah anda akan mengambil risiko untuk  membelinya?...



3.       Kualiti
Soal kualiti ini buat sesetengah orang ianya tidak boleh berkompromi langsung. Perkara yang menjadi isu dalam membuat pilihan untuk membeli peralatan terminal (terminal tackle) yang berkualiti ini biasanya ialah: adakah mutu sesuatu peralatan itu setanding dengan harganya? Boleh dikatakan bahawa sesetengah jenama yang mahal itu peralatannya mempunyai mutu yang setanding dengan harganya. Akan tetapi sebagai contoh ada peralatan terminal (terminal tackle) ini yang harganya biasa-biasa sahaja tetapi kualiti yang terjual dengan harganya adalah setanding dengan peralatan terminal (terminal tackle) jenama mahal. Mata kail yang berlabel dengan asahan kimia misalnya bukanlah suatu proses yang baru. Terdapat juga mata kail tertentu yang diasah dengan asahan kimia tetapi harganya lebih rendah dari jenama mahal. Jadi... apa pendapat anda dalam perkara ini?...




Setiap peralatan terminal (terminal tackle) yang kita gunakan adalah merupakan penentu kejayaan kita semasa memancing. Justeru, dengan sebab itulah kita harus memahami dengan tepat tentang peralatan terminal (terminal tackle) dalam ultralight tackle ini sebelum bertindak membeli dan terus menggunakannya. Sekali lagi, ketiga-tiga aspek ini adalah terpakai untuk setiap jenis peralatan terminal (terminal tackle) seperti yang telah disebutkan di atas.








No comments:

Post a Comment