Sunday, June 26, 2011

Bulan dengan ultralight tackle...



species...

Bulan dengan ultralight tackle...




Nama
Bulan
Nama saintifik
(Megalops cyprinoides)
Nama Inggeris
Tarpon, Indo-Pacific, Oxeye
Keluarga
Megalopidae
Persekitaran
Air masin, payau dan tawar – sungai persisir pantai dalam kawasan hutan bakau dan kawasan sekitarnya.
Iklim/taburan
Tropika 22°C - 24°C
Edaran
Sekitar Indo-Pasifik, - ia adalah kawasan biogeografi laut bumi yang terdiri dari perairan tropika Lautan Hindi, Pasifik Barat dan Tengah Lautan Pasifik yang menghubugkan dua wilayah Indonesia secara umum.
Penerangan ringkas
Mempunyai badan yang bersisik berkilat berwarna putih keperakan serta berwarna hijau kebiruan pada bahagian belakang, terdapat filamen panjang pada sirip dorsal yang lembut, mempunyai sepasang mata buntang dengan stuktur rahang mulut mendongak yang bertulang, sirip kaudal bercabang maksimum berwarna kelabu kehitaman, berkemampuan naik ke permukaan air untuk ‘menghirup’ udara dan selepas itu meninggalkan buih-buih kecil.
Diet
Piscivore - pemakan ikan
Crustacean - pemakan kerang-kerangan
Teknik pancingan
Mengilat (casting), menunda (trolling) - mungkin boleh dicuba, layang (fly), dasar (bottom) dan menghanyut (drift)
Umpan pancingan
Umpan semulajadi dari jenis - nematodamoluska, krustasia, serangga, ikan dan amfibia  
Umpan tiruan dari jenis -  hard bait - (top water, jerk, dan crank bait yang biasa...), swim bait, blade bait, spoon bait, jig bait, wire bait dan others bait. Manakala soft bait, hybrid bait dan flies juga boleh digunakan jika ianya dirasakan bersesuaian dengan teknik pancingan yang dipilih 
Rekod Dunia I.G.F.A.
Kategori All Tackle
Berat: 6 paun 9 auns (2.99kg)
Tempat Pancingan: Tide Island, Queensland, Australia
Tarikh Pancingan: 15/05/2000
Pemancing: Neil Schultz


Ikan bulan. Spesis ikan ini terlalu istimewa dengan pelbagai keunikan yang tersendiri dan ia pasti tidak terdapat pada spesis ikan lain. Kebolehannya naik ke permukaan air secara berganti-ganti antara satu sama lain sehingga menampakkan sirip dorsalnya yang berfilamen panjang itu sambil meninggalkan buih-buih udara sungguh mengagumkan. Apabila terkena ‘pancing’ pula ia akan melompat tinggi ke udara menghambur sambil menggeleng-gelengkan kepalanya untuk meluahkan kembali ‘pancing’ tersebut. Kepada pemancing sekalian, janganlah anda sangka akan dapat menewaskan bulan ini dengan mudah bila ia menggila. Ia sedaya upaya akan berusaha untuk melepaskan diri apabila menyedari dirinya sudah terperangkap. Sungguh licik. Ia melompat. Ia ‘meludah’. Mulutnya bertulang. Daya pecutannya yang bertenaga serta sisik berkilat berwarna putih keperakan memancar yang dipunyai oleh tuan punya badan ini sungguh memukau pandangan.

Sebenarnya bila bebicara tentang bulan ini kurang lengkap rasanya kalau tidak memperkenalkan saudara rapatnya yang berada di perairan Atlantik. Ia adalah spesis ikan bulan bersaiz mega yang lebih dikenali dengan nama Tarpon. Mampu membesar sehingga 220 paun dan mempunyai tabiat yang hampir sama dengan saudaranya rapatnya di perairan Indo-Pasifik ini. Berat sekitar 6 paun pula adalah saiz anggaran yang mampu dicapai bagi bulan Indo-Pasifik berbanding bulan Atlantik. Satu sebab mengapa ‘agaknya’ bulan Atlantik dan bulan Indo-Pasifik ini berbeza dari segi saiz tumbesarannya adalah ‘mungkin’ disebabkan oleh habitat dan diet yang berbeza. Bulan Indo-Pasifik hidup di sekitar perairan air payau manakala bulan Atlantik pula lebih kepada perairan di persisir pantai. Faktor diet dan habitat inilah yang menyumbang kepada perbezaan saiz ketara.  Walau pun kedua-dua spesis ini memang ada memasuki kawasan air payau tetapi..... entahlah... ia sekadar teori peribadi sahaja dan belum ada satu kepastian yang benar tentang perkara ini. Tetapi apa yang menjadi kemusykilan di sini ialah adanya jumpaan ikan bulan ini bersaiz anggaran 6 paun oleh nelayan dan pemancing yang tidak sengaja mendapatkannya di persisir pantai negara kita yang tercinta ini.


Mega... inilah spesis ikan bulan Atlantik yang mampu mencapai berat sehingga 220 paun berbanding saudara rapatnya bulan Indo-Pasifik yang dianggarkan beratnya dalam lingkungan 6 paun sahaja...


Bukti... ikan bulan Indo-Pasifik kita juga mampu mencapai saiz yang agak luar biasa dan ia pernah menjadi cover majalah memancing tanahair sekitar tahun 2001. Hasil pancingan yang tidak di sengajakan ini di daratkan di sekitar perairan Kertih, Terengganu dengan panjang yang direkodkan adalah 54 inci!


Buat pengetahuan semua, ikan inilah yang membuatkan diri ini ‘kenal dan kekal’ dengan ultralight tackle sejak dari dulu, kini dan selama-lamanya. Insya-Allah... Kisah bermula apabila terbacanya tentang satu artikel yang menceritakan akan kehebatan spesis ikan air masin ini menjadi ikan pertama di dunia yang telah diisytiharkan sebagi ikan sukan (gamefish). Maka sejak itulah segalanya bermula. Er... nak pergi memancing bulan Atlantik biayanya agak tinggi. Jadi..... Jadi berdasarkan kreativiti, pendekatan ‘downsizing’ telah dilakukan. Pencarian segala maklumat telah dibuat demi untuk menduga spesis ini dan ternyata ultralight tackle adalah jawapannya. Memancing ikan sukan yang hebat serba-serbi dengan peralatan memancing yang ideal memang tiada tolok bandingannya. Penyudahnya pertama kali pergi menduga spesis bermata buntang ini, malam itu tidur mimpi dan mengigau tentangnya kerana siang tadi ia gagal di daratkan! Geram betul! Memang betul ia menunjukkan ‘aerieal’nya berkawan-kawan seolah-olah mencabar kita untuk mendapatkannya. Apabila tercangkuk mata kail ia melompat, ‘meludah’ kembali umpan itu kepada kita dan nyaris ia sempat dielak dari melekat di muka! Setelah beberapa kali percubaan gagal tetapi ada satu hari itu ia berjaya di daratkan! Alhamdulillah... Huh! Itu semua pengalaman pertama dan ia telah menjadi nostalgia manis dalam diri ini... 

Justeru, bulan diberi penghormatan tertinggi menjadi ikan air masin pertama yang akan dikongsikan kisahnya dengan ultralight tackle. Purata saiz bulan yang biasa didaratkan adalah di bawah 2 paun manakala 6 paun 9 auns setakat ini adalah yang terberat di dunia berdasarkan rekod I.G.F.A. dalam kategori All Tackle. Lokasi pilihan untuk mendaratkan bulan pada kali ini yang dipilih adalah di sekitar Dearah Sabak Bernam. Teknik mengilat (casting) pula memang sengaja dipilih untuk cubaan mendaratkannya yang mana diketahui ia adalah sangat mencabar apabila teknik ini diguna pakai. Mulutnya yang keras bertulang dan lompatan ke udara adalah cabaran yang perlu dilalui untuk mendaratkannya. “Mulutnya keras seperti konkrit”. Itulah pesanan kebanyakkan pemancing layang (fly fisherman) di Amerika Syarikat dan ia lantas mengingatkan langsung kepada pengalaman Tom MacNally, penulis buku the Complete Book of Fly Fishing yang memancing ikan ini (bulan Atlantik) dengan teknik fly. Ia memancing di sekitar perairan Teluk Florida dan berjaya melihat 8 lompatan menakjubkan yang berbeza dari setiap tarpon di sana tapi ‘tiada’ seekor pun dari 8 sambaran itu semua berjaya di daratkan! “I jumped 8 large tarpon that day and landed none!” katanya... Er... Memang degil betul ikan ini nampaknya ya!...

Baiklah... Dengan lafaz Bismilahirahmanirrahim... Er... Mari kita mulakannya!...


Tenang... terasa sungguh mendamaikan jiwa apabila tiba dan berada di kawasan sekitar ‘pintu syorgha bulan’ ini...



























Taraaa!... adalah diharapkan dari 6 gambar yang dipapar sebelum ini ia mampu ‘menceritakan’ segalanya tentang bulan...


Ultralight tackle... terbaik dari joran berkekuatan 2 hingga 5 paun, kekili spinning siri 300 serta tali utama 4 paun dan.....


Besar... purata saiz yang biasa di daratkan adalah sekitar 30 sentimeter dan apabila ia telah  berjaya  melepasi dari saiz ini maka ia adalah yang “besaaar punya!”...


Keras... mulutnya mempunyai stuktur bertulang yang agak sukar ditembusi mata kail dan ia mampu ‘meludah’ kembali sebarang umpan sambil melompat ke udara... 


Hebat... sirip dorsal lembut yang membentuk filamen panjang ini yang selalunya akan kelihatan di permukaan air semasa ia sedang aktif... 


Kuat... adanya sirip kaudal yang bercabang inilah juga yang membantunya membuat lompatan ke udara selain dari mengemudi dengan pantas...


Terbaik! Bulan memang ikan sukan nombor satu! Ia ada segala-galanya! Memang wajarlah ikan ini mendahului carta teratas ikan sukan (gamefish) dunia. Malah pada bulan Disember tahun 2008, Majalah Sportfishing telah melaporkan bahawa bulan Atlantik dan marlin telah berkongsi tempat pertama bagi kategori ikan sukan yang paling hebat di dunia. Walau pun di negara kita ia tidak mampu membesar mencapai saiz mega seperti saudara rapatnya di Atlantik itu, namun pendekatan ‘downsizing’ dengan ultralight tackle ternyata memberikan ‘kesan’ yang sama seperti memancing bulan Atlantik itu. Tak percaya? Cubalah! Ada Berani?... Kepada pemancing yang berhajat memancing bulan Atlantik diharap cubalah memancing bulan Indo-Pacifik ini dahulu dengan ultralight tackle dan rasailah sendiri kehebatannya. Apa pun bulan tetap nombor satu!...








No comments:

Post a Comment