Wednesday, June 8, 2011

Ada apa dengan ultralight tackle?...



ultralight tackle_tactics...


Ada apa dengan ultralight tackle?...

Mungkin ada diantara kita sebagai pemancing yang pernah mendengar kisah mengenai pemancing yang menggunakan peralatan pancingan yang kecil, tetapi hasil pancingan mereka sungguh luarbiasa dan sukar pula hendak masuk di akal! Tanpa bukti yang kukuh, biasanya kisah-kisah begini hanya akan dianggap sebagai ‘perasa tambahan’ dalam dunia pancingan sahaja. Apa yang paling sinis ialah apabila ianya menjadi bahan ejekkan di belakang si tukang cerita tersebut. Agak malang sebenarnya apabila kebanyakkan perkara ini berlaku secara tidak disengajakan oleh pemancing-pemancing tersebut dan mereka pula tidak langsung menjangkakan ianya akan berlaku.

Hebat... ikan kelah seberat 5.5 paun ini di daratkan dengan tali utama hanya berkekuatan 2 paun dan jenis mata kailnya pula adalah untuk pancingan udang! Ini adalah antara pancingan yang tidak disengajakan dan kisahnya pernah tersiar di majalah memancing tanahair kira-kira 5 tahun yang lalu.

Bagaimana pula pemancing yang sengaja menggunakan ultralight tackle untuk menduga hasil pancingan yang luarbiasa dan malah ada yang sengaja berbuat demikian untuk memecahkan rekod peribadi sekaligus rekod dunia? Inilah senario yang berlaku pada tahun 1995 di perairan sekitar Kepulauan Faial, Azores-Portugal, apabila Loe Cloostermans telah berjaya memancing ikan marlin biru seberat 573 paun dengan tali utamanya hanya berkekuatan 4 paun! Tidak dapat dipastikan sama ada beliau menggunakan sepenuhnya ultralight tackle dalam pancingan tersebut atau tidak tetapi dengan hanya tali utama berkekuatan 4 paun itu ia nyata sesuatu yang sungguh mengagumkan. Pihak International Game Fish Association (I.G.F.A) yang terletak di Dania Beach, Florida-Amerika Syarikat, telah mengiktiraf hasil pancingan tersebut dan seterusnya meletakan Loe Cloostermans sebagai salah seorang pemegang multi-rekod dunia hanya dalam satu sahaja hasil pancingan yang sungguh cemerlang ini. Sungguh mengagumkan! Ada banyak lagi sebenarnya kisah-kisah manis kejayaan pemancing di seluruh dunia yang hanya menggunakan ultralight tackle dalam setiap pancingan mereka.

Rekod dunia… ikan marlin biru seberat 573 paun hasil pancingan luarbiasa Loe Cloostermans dengan hanya menggunkan tali utama 4 paun!

Secara sedar atau pun tidak, sebenarnya pemancing yang menggunakan ultralight tackle ini biasanya akan lebih banyak menerima sambaran ikan daripada pemancing yang menggunakan peralatan memancing ringan (light tackle), sederhana (medium tackle) mahu pun berat (heavy tackle). Pengalaman pemancing terdahulu juga banyak membuktikan perkara ini dan malah hasil pancingan mereka selalu lebih baik berbanding pemancing lain. Sebab mengapa perkara ini terjadi adalah kerana penggunaan umpan untuk memancing yang digunakan adalah bersaiz kecil-kecil belaka dan lebih bersifat semulajadi dari penggunaan umpan konvensional yang bersaiz agak besar sedikit, terutamanya semasa umpan tiruan digunakan. Senario ikan pemangsa yang hanya mengikut dengan rapat umpan tiruan dari belakang tetapi tidak cuba ‘membahamnya’ dengan rakus juga adalah salah satu faktor yang termasuk dalam kategori ini. Ini bukanlah bermakna umpan-umpan tiruan yang besar tidak mendapat sambaran ikan tetapi biasanya umpan-umpan yang kecil ini lebih ‘menggoda’ ikan pemangsa. Umpan-umpan yang kecil inilah yang sangat menarik perhatian ikan pemangsa kerana pada kebanyakkan masa umpan tersebut lebih menyerupai saiz diet asal ikan pemangsa di sesuatu perairan itu.

Berbeza… sebagai perbandingan, hanya jenis jerkbait kecil dan bersaiz mikro yang sentiasa digunakan dalam ultralight tackle.

Lebih jauh dari sudut itu, pemancing yang menggunakan ultralight tackle ini sebenarnya amat ‘dahagakan’ satu tahap cabaran yang paling hebat, paling ekstrem dan jauh lebih adil sebenarnya. Manakan tidak, semua peralatan memancing yang diguna pakai adalah kecil-kecil belaka! Jika pemancing ini berjaya mendaratkan hasil pancingan yang luar biasa, sudah tentu ia akan dianggap sebagai satu anugerah kejayaan yang paling gemilang dalam dunia memancing. Jika hasil pancingannya biasa-biasa sahaja, itu pun sudah memadai kerana pemancing yang menggunakan ultralight tackle itu tadi sudah pun melepasi satu tahap cabaran yang cukup hebat, ekstrem dan adil semasa mendaratkan hasil pancingannya. Seluruh pengetahuan, kemahiran dan pengalamannya sebagai pemancing teruji hebat dengan ultralight tackle. Tidak keterlaluan kalau dikatakan mereka ini adalah antara pemancing yang sejati dan pastinya tidak ramai pemancing yang berani ‘bermain-main’ dengan ultralight tackle ini.

Cabaran… sesetengah pemancing yang menggunakan ultralight tackle tidak kisah jika hasil pancingannya ‘terlepas’ kerana mereka hanyalah mahukan satu pertarungan yang adil antara manusia dengan ikan.

Kini lebih banyak pemancing berpengalaman di seluruh dunia mula betukar kepada ultralight tackle untuk merasai sendiri kepuasan bertarung dan mendaratkan hasil pancingan mereka. Jika kena pada waktunya, tidak mustahil dengan ultralight tackle mereka dan malah mungkin juga anda akan bakal mencatat rekod dunia!







No comments:

Post a Comment