Sunday, June 12, 2011

Sebarau dengan ultralight tackle...


species...


Sebarau dengan ultralight tackle...




Nama
Sebarau
Nama saintifik
(Hampala macrolepidota)
Nama Inggeris
Barb, hampala
Keluarga
Cyprinidae
Persekitaran
Air tawar - sungai, sungai pergunungan, tasik, lombong dan paya
Iklim/taburan
Tropika 22°C - 25°C
Edaran
Asia Tenggara - Indochina, Semenanjung Malaysia, Borneo, Indonesia
Penerangan ringkas
Mempunyai sirip dorsal lembut, sirip anal lembut, terdapat tanda hitam menegak diantara sirip dorsal dan sirip pelvik bagi dewasa, bagi juvenil terdapat tanda hitam tambahan pada batang sebelum sirip kaudal, berwarna jingga kemerahan bagi sirip kaudal dengan bentuk bercabang, membujur dan mempunyai garisan hitam pada bahagian tepi, bagi juvenil terdapat kesan hitam pada bawah mata dan atas pipi, mempunyai sepasang sesunggut yang panjang hingga ke mata dan mata pula terletak ke atas sedikit pada bahagian kepala dengan alur menegak sampai belakang mulut yang bermuncung genting.
Diet
Piscivore - pemakan ikan
Insectivorous - pemakan serangga
Teknik pancingan
Mengilat (casting), menunda (trolling), layang (fly), dasar (bottom) dan menghanyut (drift)
Umpan pancingan
Umpan semulajadi dari jenis - nematodamoluska, krustasia, serangga, ikan, amfibia dan terproses  
Umpan tiruan dari jenis -  hard bait - (top water, jerk, dan crank bait yang biasa...), swim bait, blade bait, spoon bait, jig bait, wire bait, frog bait dan others bait. Manakala soft bait, hybrid bait dan flies juga boleh digunakan jika ianya dirasakan bersesuaian dengan teknik pancingan yang dipilih 
Rekod Dunia I.G.F.A.
Kategori All Tackle
Berat: 14 paun 5 auns (6.5kg)
Tempat Pancingan: Tasik Temenggor, Perak Darul Ridzuan, Malaysia
Tarikh Pancingan: 22/09/2002
Pemancing: Teh Teck


Sebagai pemancing, tentunya sebahagian daripada kita pernah mendengar pelbagai kisah hebat mengenai sebarau ini baik melalui pengalaman pemancing terdahulu, tontonan video dan hinggalah kepada sumber pembacaan mengenainya atau mungkin juga sebahagian dari kita pernah ada pengalaman mendaratkannya. Cubaannya meloloskan diri dengan berenang secara mengiring di celah tunggul kayu, berpura-pura lemah setelah rapat di gigi air tetapi dengan tiba-tiba ia terus memecut laju ke dasar dan hinggalah kepada ia mampu ‘meletupkan’ tali utama berkekuatan 30 paun dengan serta merta adalah antara kisah-kisah kehebatan spesis yang sungguh mengagumkan ini.

Ramai pemancing berpengalaman di tanahair berpendapat bahawa sebarau adalah spesis ikan air tawar yang sangat penting dalam dunia memancing di bumi tercinta ini. Malah ada pemancing yang berpengalaman tinggi ini juga begitu ekstrem menegaskan ia adalah spesis ikan air tawar yang akan tetap mengungguli carta bagi spesis air tawar sampai bila-bila! Barangkali ada kebenarannya akan kenyataan tersebut setelah tercatat pelbagai kisah hebat lagi mendebarkan, serta suka duka mengenai kelicikkan spesis yang bermaharajalela di sungai-sungai utama, sungai pergunungan, tasik, lombong dan malah ia juga pernah direkodkan ada dijumpai di dalam paya!

Sebarau adalah spesis ikan air tawar yang mana diet utamanya merupakan dari jenis ikan dan serangga sahaja. Tidak keterlaluan kalau ia boleh diklasifikasikan sebagai karnivor iaitu jenis binatang atau haiwan yang hanya memakan makanan bersifat daging sahaja. Ia biasanya memburu makanannya pada awal pagi dan lewat petang tetapi ada kalanya kebiasaan ini berubah tidak menentu. Ada juga di mana ia pernah direkodkan memburu makanan pada waktu malam dengan kejayaan pemancing yang berjaya mendaratkannya pada waktu tersebut selepas terdengar hamburan kuat di air. Ini mungkin disebabkan oleh sifatnya yang suka berpindah-randah semasa memburu makanan dan jika benar tentang perkara ini, maka ia adalah satu cabaran yang hebat buat pemancing yang cuba menjejaknya.

Justeru, satu penghormatan tertinggi telah diberikan kepada sebarau selaku ikan air tawar pertama yang akan ‘cuba’ dipancing dengan ultralight tackle. Huh! Sudah hilang akal ke agaknya nak pancing sebarau dengan ultralight tackle?... Er... Alhamdulillah... masih waras lagi otak ini dan belum sampai ke tahap hilang akal! Maka ‘cubaan’ pertama untuk memancing sebarau dengan ultralight tackle ini telah diatur di salah satu cabang dari aliran Sungai Perak yang berarus deras bertempat di dalam Daerah Perak Tengah. Manakala teknik mengilat (casting) pula telah dipilih demi untuk merasai sendiri kesan ‘renjatan’ ketika cuba mendaratkannya. Purata saiz sebarau yang biasa didaratkan adalah di bawah 4 paun manakala 14 paun 5 auns setakat ini adalah yang terberat di dunia berdasarkan rekod I.G.F.A. dalam kategori All Tackle.

“Mak... kecik nye... aje koroje gile betoi kome nak mancing sebarau dengan pancing ghoper ini... er... kalau udah  tersangkut ke bapak nye nanti... mane ke gaye nyer chor?... ” kata seorang kenalan baru dalam loghat Perak Tengah di pinggir sungai tersebut setelah melihat peralatan memancing yang akan digunakan. Hanya senyuman yang mampu diberi kepada kenyaatan kenalan baru tersebut sambil dalam hati ini berharap satu keajaiban akan berlaku... Baiklah... Bismilahirahmanirrahim... Er... Mari kita lihat siapa yang kenaaa!...


Deras... permulaan salah satu cabang aliran dari Sungai Perak yang menjadi medan ujian tempur sebarau dengan ultralight tackle...















Taraaa!... setelah 3 kali rabut dengan spoon dan selepas itu pula 2 kali jerkbait putus, akhirnya berjaya juga ia di daratkan...


Ultralight tackle... Joran berkekuatan 2 hingga 5 paun, kekili spinning siri 300 serta tali utama 4 paun dan.....


Terpedaya... jerkbait seakan diet semulajadi dipilih selepas terlihat sekumpulan anak-anak ikan terpelanting dihambur...


Jahanam... kesan mata kail yang cuba dikunyah sebelum sempat ia dilumatkan ke dalam mulutnya yang tidak bergigi itu...


Kuat... mulutnya dilengkapi sepasang rahang bertenaga yang mana ia mampu mengunyah walau ‘besi’ mata kail sekali pun... 


Tanda... pengenalan diri yang unik bagi memudahkan dirinya dikenali ramai tanpa perlu membeleknya dengan terperinci...


Kuat... dengan adanya sirip kaudal yang bercabang lebar ini, maka tidak hairanlah mengapa ia mampu mengemudi dengan hebat menongkah arus deras...


Alhamdulillah... Memancing sebarau dengan menggunakan sepenuhnya ultralight tackle buat pertama kali memang merupakan satu pengalaman paling indah dan mungkin tidak dapat dilupakan. Detik demi detik sungguh mendebarkan sehinggalah ia berjaya di daratkan. ‘Penangan’ memancingnya sungguh terkesan dalam diri ini dan yang paling peliknya ia sampai terbawa-bawa dalam mimpi! Hurmmm... Entahlah... Jika dipanjangkan umur dan dimurahkan  rezeki oleh Allah S.W.T. terasa ingin lagi menjejak spesis yang mempunyai daya juang sangat hebat ini! 







1 comment:

  1. Sungai perak ni sebelah mana?? boleh berkongsi??

    ReplyDelete