Monday, June 6, 2011

Sepintas lalu tentang ultralight tackle...


ultralight tackle_tactics...


Sepintas lalu tentang ultralight tackle...

Ultralight tackle... apabila perkataan ini dirujuk dalam konteks dunia memancing moden hari ini, tentunya kebanyakkan dari pemancing semua pernah mendengar akan perkataan tersebut. Kini reputasi cemerlangnya dikalangan pemancing semakin meningkat dan ia mula mendapat tempat yang istimewa di hati pemancing seluruh dunia. 

Secara teknikalnya 'ultralight tackle' adalah merujuk kepada istilah yang menerangkan tentang satu kaedah memancing di mana ia menggunakan joran, kekili serta peralatan memancing lain yang sangat kecil dan ‘terlampau ringan’ dari peralatan memancing jenis lain yang biasa. Istilah ini secara relatif adalah untuk membezakan antara joran yang beraksi ringan (light action), dengan joran yang beraksi 'terlampau ringan' (ultralight action). 

Secara tipikal juga, joran ultralight ini akan bergetar keseluruhannya dari hujung joran hinggalah ke bahagian pangkalnya apabila ia digerakkan bagi melihat aksinya. Ia juga mampu membentuk aksi parabolik (parabolic action), yang mana ia dapat melengkung hampir menjadi satu bulatan penuh dengan mudah dari hujung joran hinggalah ke bahagian pangkalnya. Joran ultralight ini juga terdapat dalam beberapa aksi yang berlainan sama seperti joran bagi kategori ringan (light) dan sederhana (medium). Walaupun begitu, bahan yang digunakan dalam pembuatan joran (material), kepanjangan joran (length), sambungan antara dua bahagian joran (ferrule) dan susunan antara cincin joran (guide) akan turut mempengaruhi aksi joran tersebut. 

Halus... ringan, seimbang, teguh dan sangat sensitif adalah antara ciri-ciri utama pada joran ultralight yang berkualiti. 

Joran-joran ultralight ini biasanya akan dipadankan dengan kekili dari jenis spinning, kekili spincast dan juga kekili underspin dengan kekuatan tali utama dari jenis monofilament bermula dari 1 hingga 6 paun yang berdiameter diantara 0.05 hingga tidak melebihi 0.20 milimeter sahaja. Kesemua jenis kekili yang dipadankan dengan joran ultralight tersebut adalah dari jenis kekili ultralight juga. Jarang sekali penggunaan kekili baitcast digunakan dalam ultralight tackle walaupun ada terdapat sesetengah pengeluar peralatan memancing yang mengeluarkannya. Pada kebiasaanya hanya joran tempahan khas (custom rod) yang berkekuatan 2 hingga 6 paun sahaja akan dipadankan dengan kekili dari jenis tersebut. 



Joran-joran ultralight yang berkekuatan 2 hingga 6 paun dipadankan dengan kekili dari jenis spinning ultralight (atas), kekili spincast ultralight (tengah) dan juga  kekili underspin ultralight (bawah).



Jarang-jarang… joran ultralight tempahan khas (custom rod) yang berkekuatan 2 hingga 6 paun dipadankan dengan kekili dari jenis baitcast.



Bagi jenis penggunaan umpan pula, pemancing yang menggunakan ultralight tackle ini tidaklah terhad kepada satu jenis penggunaan umpan sahaja. Selain penggunaan umpan memancing yang bersifat semulajadi, kini umpan tiruan pula semakin meluas diguna pakai. Pemancing yang menggunakan joran serta kekili ultralight yang telah dilaraskan dengan betul ini sebenarnya mampu membuat lontaran yang sempurna ke atas pelbagai umpan tiruan dari pelbagai jenis hard bait - (top water, jerk, dan crank bait yang biasa...), swim bait, blade bait, spoon bait, jig bait, wire bait, frog bait dan others bait.  Manakala soft bait dan hybrid bait juga boleh digunakan jika ianya dirasakan bersesuaian dengan keadaan. Semua jenis umpan tiruan ini biasanya bermula dari sekecil 1/50 hingga 1/4 auns selain dari penggunaan umpan semulajadi yang biasa.



Kecil-kecil... antara sebahagian dari jenis umpan tiruan yang biasa digunakan dalam ultralight tackle.




Bagi peminat pancing layang (fly fishing) pula, peralatan yang bermula dari wt000 hingga wt3 adalah tergolong dalam katergori ultralight. Joran bagi pancing layang (fly fishing) ultralight ini pula, ia kebiasaannya adalah lebih pendek berbanding joran yang biasa digunakan. Kesemua peralatan ini direka khusus untuk ketepatan kawalan ke atas tali (line) dan umpan layang (flies) semasa ia digunakan. Ia paling ideal digunakan bersama umpan layang (flies) yang bersaiz kecil hingga sederhana selain ia dapat pula memberikan perlindungan kepada tippet halus yang digunakan.


Tersendiri... terdapat juga katergori ultralight tackle dalam teknik pancing layang (fly fishing).


Sukar hendak diungkapkan dengan perkataan! Itulah antara perasaan yang sering dialami oleh pemancing yang mengunakan ultralight tackle ini ketika berjaya mendaratkan hasil pancingannya. Semua peralatan yang digunakan adalah kecil-kecil belaka dan hasil pancingan pula kadangkala sungguh luar biasa! Selalunya hasil yang di daratkan itu bukanlah menjadi ukuran pemancing yang menggunakan ultralight tackle ini, tetapi cabaran semasa bertarung dengan adil untuk mendaratkan hasil pancingan itulah yang dianggap satu kepuasan yang sebenar.




Kepuasan… saiz biasanya bukanlah satu masalah utama tetapi satu pertarungan yang hebat dan adil adalah lebih bermakna dalam penggunaan ultralight tackle.


Pemilihan joran, kekili serta tali utama yang tepat adalah perkara asas yang perlu di beri perhatian yang tinggi dalam ultralight tackle. Selain daripada itu, kemahiran sebagai pemancing juga adalah amat diperlukan ketika cuba mendaratkan hasil pancingan dengan kawalan yang baik ke atas peralatan memancing yang amat berbeza dari peralatan memancing yang biasa. Maklumlah, kebanyakkan peralatan memancing yang diguna pakai halus, kecil dan ringan. 

Justeru, ultralight tackle ini sebenarnya amat menarik perhatian dan ia juga memerlukan satu pendekatan yang agak berbeza daripada peralatan memacing ringan (light tackle), sederhana (medium tackle) mahu pun peralatan memancing berat (heavy tackle) anda.







No comments:

Post a Comment