Thursday, July 14, 2011

Pelarasan sistem drag dalam ultralight tackle...




ultralight tackle_tactics...


Pelarasan sistem drag dalam ultralight tackle...

Sebagai pemancing, kita sepatutnya perlu mempunyai sikap ambil peduli terhadap setiap batasan peralatan memancing yang kita gunakan, tambahan pula jika kita menggunakan sepenuhnya peralatan ultralight tackle. Tanpa kefahaman yang betul terhadap peralatan apa yang anda guna pakai ketika memancing ia boleh mendatangkan kekeliruan dan kehampaan.

Sistem drag merupakan satu mekanisma yang sangat penting pada kekili anda dan ia menjadi lebih penting jika anda menggunakan peralatan ultralight tackle. Ingat! anda menggunakan peralatan yang sangat halus, sangat kecil dan sangat ringan dalam ultralight tackle. Kerap terjadi situasi dimana tiba-tiba kita terdengar suara “saya rabutlah bang...” tanda kekecewaan.., sumpah seranah akibat tali utama putus dan yang paling mendukacitakan ialah joran patah semasa sedang bertarung! Hasil pancingan yang terlepas mungkin boleh dipancing kembali, kekili yang rosak mungkin boleh dibaiki atau diganti, tali yang putus pula mungkin boleh disambung dan turut diganti tapi....... bila joran patah apa yang boleh kita lakukan?...

Suka atau pun tidak, semua perkara di atas ini sebenarnya amat berkait rapat dengan sistem drag kekili anda tapi....... itupun jika tali utama anda tidak reput! Sistem drag sebenarnya dicipta untuk semua situasi di atas dan apabila tekanan berlebihan diterima, ia sepatutnya akan menyerap semua tekanan tersebut dengan cara melepaskan tali utama dari gelendung pada kekili. Bagaimana mahu melaraskan sistem drag ini dengan betul? Pada dasarnya terdapat beberapa cara untuk melaraskan sistem drag supaya ia dapat menjalankan tugasnya dengan sempurna. Tetapi adalah lebih penting sebelum itu jika beberapa panduan di bawah ini diambil kira sebelum pelarasan sistem drag dibuat. Antaranya ialah:

  • Peralatan pancingan anda mestilah sepadan. Penggunaan tali utama mestilah tidak melebihi dari had yang telah disyorkan seperti yang tertera pada joran dan kekili. Keseimbangan ini adalah kunci utama dalam usaha untuk melaraskan sistem drag dengan betul.
  • Kesempurnaan sistem drag kekili. Perkara ini sepatutnya telah dinilai sebelum proses pembelian kekili dibuat lagi. Selepas dari itu, pantau sistem drag kekili anda terutama dalam setiap pancingan supaya sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan ia mestilah diservis jika perlu.
  • Perbuatan mengetatkan sistem drag ‘semasa’ tempoh pertarungan sedang berlangsung mestilah dielakkan. Ini adalah kesilapan biasa dan tolong hentikan perbuatan ini sebelum tali utama anda putus dan yang lebih hebat ialah joran anda bertukar menjadi berbilang keratan selapas itu! Tak percaya? Cubalah amalkan...



Kaedah tradisional

Proses pelarasan sistem drag yang betul sepatutnya akan hanya berlaku apabila daya yang memaksa tali utama keluar dari kekili melepasi lengkungan joran adalah kira-kira 1/3 dari ketahanan tali utama tersebut. Sebagai contoh tali utama yang berkekuatan 4 paun apabila menerima tekanan sebanyak 1.3 paun, ia sepatutnya akan mula membuatkan sistem drag melepaskan tali itu dari gelendung.

Caranya ialah dengan mengikat atau memegang tali utama tersebut pada jarak kira-kira 20 hingga 30 meter dan kemudian pelarasan sistem drag dibuat dari kedudukan itu. Berikan tekanan pada joran dengan mengangkatnya pada sudut 45° dan selepas itu tali utama sepatutnya mula keluar dengan joran pada ketika itu berada pada lengkungan yang optimum. Jika sistem drag mula mengeluarkan tali ketika joran diberikan tekanan yang sedikit, maknanya sistem drag tersebut adalah terlalu longgar. Ketatkan sedikit. Jika tekanan yang kuat pula baru menyebabkan tali utama mula keluar dan joran berada pada kedudukan yang melengkung banyak, maknanya sistem drag adalah terlalu ketat. Longgarkan semula supaya ia mendapat pelarasan drag yang optimum.


Kaedah penimbang

Bagi pelarasan sistem drag yang menggunakan alat penimbang pula, ia biasanya akan dilaraskan pada kadar 25% hingga 33% mengikut kesesuaian dari kekuatan tali utama tersebut. Contohnya 1 paun adalah 25% dari kekuatan tali utama yang berkekuatan 4 paun. Jadi apabila tali utama mula mendapat tekanan yang tersebut, ia seharusnya mula keluar dari sistem drag kekili.    

Tidak ada perbezaan yang ketara cara pelarasan drag bagi kaedah ini dengan kaedah yang tradisional tetapi cuma ia perlu dilaraskan dengan menggunakan penimbang sahaja. Hujung tali utama diikat dengan penimbang dan kemudian ditarik pada kadar 20 hingga 30 meter juga. Pastikan tarikan pada meter penimbang mencapai kadar 25% atau 33% tekanan dan seterusnya ia mampu membuatkan tali utama mula keluar dari sistem drag. Ulangi langkah ini beberapa kali seperti cara melaraskan sistem drag dengan kaedah tradisional sehingga mendapat pelarasan drag yang optimum. Cara ini lebih tepat berbanding kaedah tradisional yang hanya berdasarkan agakkan atau apa yang disebutkan dalam bahasa Inggeris sebagai “feels right”.


Kaedah drag checker

Melaraskan sistem drag kini menjadi lebih mudah dan efisien dengan penciptaan sejenis alat, iaitu apa yang dipanggil drag chacker. Ia dikatakan lebih sistematik serta tepat selain ia boleh dikendalikan seorang diri berbanding kaedah tradisional dan penimbang yang memerlukan pembantu untuk melakukannya.

Sungguh mudah cara menggunakan drag chacker ini iaitu dengan melalukan tali utama pada alat tersebut sambil boleh melaraskan sistem drag pada masa yang sama. Sila klik pada pautan tertera untuk melihat cara penggunaannya dengan betul. http://www.bouz.net/english/products/dc/index.html









No comments:

Post a Comment